Jumaat, 30 April 2010

Doa dimusim peperiksaan

Doa untuk Mengulangkaji Pelajaran

- Doa memulakan ulangkaji

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ فَهْمَ النَّبِيِّيْنَ وَحِفْظَ الْمُرْسَلِيْنَ وَالْمَلاَئِكَةِ الْمُقَرَّبِيْنَ. اَللَّهُمَّ اجْعَلْ لِسَانِيْ عَامِرًا بِذِكْرِكَ وَقَلْبِيْ مَلِيْئًا بِخَشْيَتِكَ، إِنَّكَ عَلَى مَا تَشَاءُ قَدِيْرٌ.

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon daripadaMu kefahaman para nabi, ingatan para rasul dan malaikat terhampir. Ya Allah! Jadikanlah lidahku basah dengan zikir kepadaMu, hatiku dipenuhi dengan takut kepadaMu. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa di atas segala apa yang Engkau kehendaki.”

- Doa selepas mengulangkaji

اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَوْدِعُكَ مَا قَرَأْتُ وَمَا فَهِمْتُ وَمَا حَفِظْتُ فَرُدَّهُ إِلَيَّ عِنْدَ حَاجَتِيْ إِلَيْهِ، إِنَّكَ عَلىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ.

Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku menitip apa yang aku baca, faham dan hafal kepadaMu. Maka kembalikanlah ia kepadaku ketika aku memerlukannya. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa di atas segala sesuatu.”

Doa Pada Hari Peperiksaan

Dicadangkan agar doa-doa berikut diucapkan pada hari peperiksaan, iaitu sebelum dan semasa peperiksaan berlangsung:

1. Ketika memasuki dewan peperiksaan:

وَقُلْ رَبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَلْ لِي مِنْ لَدُنْكَ سُلْطَانًا نَصِيرًا

Maksudnya: “Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku daripada sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku.”

2. Ketika menerima kertas soalan:

قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي. وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي. وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي. يَفْقَهُوا قَوْلِي.

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku. Dan mudahkanlah bagiku tugasku. Dan lepaskanlah simpulan daripada lidahku, supaya mereka faham perkataanku.”

3. Ketika sukar menjawab:

ياَ حَيُّ يَا قَيُّوْمُ، بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ.

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang maha hidup lagi maha berdiri dengan sendirinya. Dengan rahmatMu aku bermohon pertolongan.”

4. Atau:

اَللَّهُمَّ لاَ سَهْلَ إِلاَّ مَا جَعَلْتَهُ سَهْلاً وَأَنْتَ تَجْعَلُ الْحَزَنَ الصَّعْبَ إِنْ شِئْتَ سَهْلاً.

Maksudnya: “Ya Allah! Tidak ada kesenangan melainkan pada perkara yang engkau jadikan kesenangan padanya. Dan engkau menjadikan kedukacitaan dan kesukaran sebagai mudah dan senang jika Engkau kehendaki.”

5. Jika anda terlupa jawapan:

اَللَّهُمَّ يَا جَامِعَ النَّاسِ لِيَوْمٍ لاَ رَيْبَ فِيْهِ اجْمَعْ عَلىَ ضَالَّتِيْ مَعْلُوْمَاتِيْ.

Maksudnya: “Ya Allah! Tuhan yang menghimpunkan manusia pada hari yang tiada keraguan padanya. Himpunkan barangan dan maklumat yang hilang daripadaku.”



dipetik dari: http://remajaisma.wordpress.com

Ahad, 25 April 2010

Kenapa Kita Selalu Tinggalkan Solat???


Kenapa Kita Selalu Tinggalkan Solat???



Assalamualaikum W.B.T... Semua orang tahu bahawa kalau meninggalkan solat adalah dosa besar dan malahan lebih hina daripada khinzir.Allah SWT mensyariatkan Semua Orang yang beragama ISLAM wajib menunaikan solat 5 waktu.. tapi sebaliknya pada masa kini. Solat diabaikan, puasa diabaikan, senang cerita semua perkara yang diperintah oleh Allah banyak telah di abaikan.Di mana Tanggungjawab kita sebagai hamba Allah? Allah telah menjadikan kita dengan cukup sifat, Allah telah turunkan nikmat-nikmat rezeki kepada kita.. tetapi kita sedikit pun tidak patuh dan sujud kepada Allah.Malah kita siap ingkar lagi dengan melakukan perkara yang dilarang oleh Allah.. Adakah ISLAM hanya terletak pada nama? Disebabkan mengejar kemewahan di dunia kita sanggup lalai menunaikan tanggungjawab kita kepada Allah.Allah telah menjanjikan Azab-azab kepada manusia yang meninggalkan solat


14 azab bagi mereka yang mengabaikan solat.

i) 5 azab di dunia :
1.Tidak mendapat rahmat dalam kehidupannya.
2.Kehilangan nur (cahaya) di wajahnya.
3.Tidak mendapat pahala bagi amalan-amalannya yang baik.
4.Doa-doanya tidak dimakbulkan oleh Allah.
5.Tidak mendapat bahagian doa-doa orang yang salih.

(ii) 3 macam azab pada masa hendak meninggal dunia :
1. Mati dengan keadaan aib.
2. Dalam keadaan lapar.
3. Dalam keadaan haus yang amat sangat.

(iii) 3 azab didalam kubur :
1. Dihimpit oleh kuburnya hingga tulang-tulang rusuknya berceragah.
2. Dibakar dengan api dalam kuburnya.
-diguling-gulingkan dirinya di atas bara api siang dan malam. Ular yang bisa dengan mata berapi dan berkuku besi yang panjangnya sama dengan perjalanan sehari, dilepaskan ke atas dirinya.Ular itu bertempik seperti bunyi guruh, “ Tuhanku telah perintahkan aku supaya memukul kamu hingga terbit matahari kerana kamu melengah- lengahkan solat subuh hingga zuhur, kerana melengah-lengahkan solat zuhur hingga matahari masuk ke ufuk, kerana melengah-lengahkan solat asar hingga solat magrib, kerana melengah-lengahkan solat magrib ke solat Isya’, kerana melengah-lengahkan solat Isha’hingga ke subuh.”Ular itu pun terus memukulnya hingga sampai hari kiamat.Setiap pukulan membenamkannya hingga 70 hasta.

(iv) Tiga azab dibangkitkan :selepas
1. Dihisap dengan cara kasar.
2. Kemurkaan Allah.
3. Dicampak ke dalam api neraka.


Dalam peristiwa israk, Nabi s.a.w. melihat satu kumpulan orang yang tegap dan sihat, tiba-tiba masing-masing mengangkat batu besar dihempapkan ke kepalanya.Kepala pun hancur. Kemudian kepala itu pulih seperti sediakala, lalu mereka mengangkat semula
batu dan dihempapkan ke kepala mereka...Demikian berlaku berulang kali.Nabi s.a.w. bertanya kepada Jibril, “Siapakah mereka itu, wahai Jibril?

Jibril berkata, “Mereka itu ialah di antara umatmu yang melalaikan solat lima waktu.”

mslh malas solat atau melambatkn solat ni berpunca:

*Dari hati....hati kita kena bersih dulu....

*Ditambah pula dengan kelalaian kita...

*Sibuk dlm urusan hidup...

*Pengaruh dikeliling kita...




Cara Menyucikan Hati

Segala aspek kehidupan ini bermula daripada hati. Oleh itu di bawah ini ada beberapa cara bagaimana hendak mencuci hati. Diolah oleh pakar motivasi : Datuk Dr. Haji Fadzilah Kamsah.

1. Dirikan solat dan banyakkan berdo’a. Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdo’a turut katakan “Ya,Allah jadikan hatiku bersih”.
2. Selawat keatas Nabi Muhammad S.A.W - Paling minima 100 X sebelum tidur. Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Disamping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orangsayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.
3. Solat taubat. Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.
4. Membaca Al-Quran. Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa, penyembuh, penenang, terapi. Sekurang-kurangnya bacalah “Qulhu-allah”sebanyak 3X.
5. Berma’af-ma’afan sesama kawan setiap hari. Semasa meminta maaf perlu sebutkan.
6. Bisikan kepada diri perkara yang positif. Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri. Katakanlah “Aku sebenarnya……(perkara yang elok-elok belaka)
7. Program minda/cuci minda. Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati “Ya, Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif”. Menurut kajian saikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya.
8. Berpuasa. Sekiranya dalam berpuasa terhindar dari melakukan perkara-perkara kejahatan.
9. Cuba ingat tentang mati. Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan, tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila-bila masa.
10. Kekalkan wuduk.
11. Bersedekah
12. Belanja orang makan.
13. Jaga pemakanan. Jangan makan makanan yang syubhat. (Penting dalam aspek menuntut ilmu)
14. Berkawan dengan ulama’.
15. Berkawan dengan orang miskin. (menginsafi)
16. Pesan pada orang, jadi baik.
17. Menjaga pancaindera (mata, telinga, mulut…dsb), jangan dengar orang mengumpat.”

Cara-cara memulakan bersolat selepas lama ditinggalkan:

1. Sematkan azam, bulatkan tekad
Sebaik sahaja tersedar dari lamunan (sedar rupanya dah lama tinggal solat), cuba fikir sedalam mungkin tentang apa yang anda lakukan, apa yang tak sepatutnya anda lakukan, dan apa yang sepatutnya anda lakukan.

Dari situ, tanam keazaman yang kukuh bahawa anda ingin mengerjakan solat, dan tidak akan meninggalkannya sampai bila-bila. Kerana itulah tujuan anda hidup di atas muka bumi ini sebenarnya.

2. Cari masa dan tempat yang sesuai, sunyi, jauh dari dugaan
Kemudian tetapkan masa di mana anda akan mula menjalani kehidupan sebagai seorang yang mengerjakan solat. Lebih cepat lebih baik. Ingatlah, berdosa besar bagi orang yang melengah-lengahkan solat.

Sebaiknya, cari tempat yang sunyi dan jauh dari dugaan. Jauhi rakan-rakan yang tidak solat atau suka mengejek, sekurang-kurangnya untuk waktu itu sahaja. Masjid juga adalah tempat yang baik.

3. Solat sekali dahulu, baru ada kali kedua
Walau sekuat mana pun azam, sebulat mana pun tekad, sebaik mana pun masa dan tempat, tanpa solat yang pertama, takkan jadi solat yang kedua dan seterusnya.

Oleh itu, mulakan sahaja tanpa berlengah. Bak kata iklan NIKE - Just do it!

4. Buat nota peringatan dan galakan
Kalau ada masa dan semangat yang berkobar-kobar, tuliskan kata-kata peringatan dan galakan di atas sehelai kertas (besar atau kecil).

Kemudian yang besar tampal di dinding, manakala yang kecil diletakkan dalam wallet atau poket baju.

Tips ini mungkin kurang sesuai jika anda tinggal bersama rakan-rakan yang tidak mengerjakan solat. Dibimbangi ada yang kata anda nak tunjuk bagus.

5. Fahami maksud setiap bacaan dalam solat
Jika anda kurang bersetuju dengan point ini, saya nasihatkan supaya cuba dahulu. Anda pasti akan merasai kelainannya.

Bukan faham satu-satu ayat, tetapi satu-satu perkataan. Di situ akan bermula keindahan solat, di mana anda akan rasa seolah-olah khusyuk itu mula hadir dalam diri semasa mengerjakan solat.

6. Baca perlahan-lahan mengikut tertib
Sewaktu solat, baca perlahan-lahan untuk meningkatkan rasa manis, indah dan seronok.

7. Tingkatkan imaginasi
Sewaktu menghayati maksud, tingkatkan imaginasi anda. Bayangkan keindahan bertemu Allah yang menjemput kita untuk sujud kepada-Nya.

8. Doa mohon kekuatan dan sokongan
Panjatkan doa kepada Allah s.w.t dengan memohon kekuatan dan sokongan untuk berubah menjadi hamba-Nya yang taat. Hendaklah diamalkan sejurus selepas setiap kali solat.

9. Tumpu perhatian pada hari-hari yang dilalui
Tumpukan perhatian anda pada hari yang anda sedang lalui dengan mengerjakan solat. Berilah pujian kepada diri anda dan berikan tahniah kepada diri anda setiap kali anda berjaya mengerjakan solat.

10. Dapatkan adrenaline sewaktu mendengar azan
Adrenaline boleh digunakan sebagai pembantu dengan memberi suatu kejutan semangat yang berkobar-kobar untuk terus pergi menunaikan solat tanpa berlengah-lengah.

Jika anda dapat menanam adrenaline ini sehingga menjadi tabiat, anda pasti akan meninggalkan segala kerja yang anda lakukan, apabila terdengar sahaja azan berkumandang. Best tak?

11. Berfikir secara positif
Fikirkan diri anda sebagai seorang yang mengerjakan solat sebaik sahaja anda memulakannya dan sentiasa peringatkan diri anda sedemikian.

Sekiranya ada rakan anda yang mengajak anda ke mana-mana sebelum sempat anda menunaikan solat, katakanlah saya belum bersolat, tunggu sebentar atau pergi dahulu.

Ingatlah bahawa anda telah membuat pilihan positif untuk mengerjakan solat.

12. Dapatkan sokongan mental dan rohani
Berikanlah peringatan kepada keluarga, kawan rapat dan rakan sekerja yang anda telah mula mengerjakan solat dan memerlukan kerjasama serta sokongan daripada mereka.

Mintalah rakan-rakan anda yang tidak mengerjakan solat supaya menghormati keputusan anda.

13. Lawan kemalasan dalaman dan godaan syaitan
Dari semasa ke semasa anda akan merasai suatu kemalasan, kebosanan, dan sebagainya, yang mana semua itu sebenarnya hanyalah godaan syaitan dan kemalasan diri sendiri.

Oleh itu lawanlah sehabis-habis mungkin. Ingatlah anda lawan ni pun tak lama. Lama kelamaan ibadah ini akan sebati juga dalam diri anda, dan tidak perlu dipaksa lagi.

14. Banyakkan bahan bacaan tentang solat
Kerapkan diri anda membaca kisah-kisah nikmat solat untuk membangkitkan semangat. Baca juga tentang dosa meninggalkan solat untuk membangkitkan rasa takut pada Allah s.w.t. Moga-moga dilimpahi rahmat dan keberkatan oleh Allah

kawan-kawan ku, jika hari ini aku terlalu gembira, sedarkanlah aku dgn amaran2 Allah. Jika aku bersedih tanpa kata, pujuklah aku dgn tarbiah Pencipta. Jika aku lemah sedarkanlah agar aku berubah. Dan jika esok aku lena tanpa terjaga, iringlah lenaku dgn kalungan doa.. Berjanjilah sahabatku, ukhwah kita utk selamanya….



Islam terapkan amalan demokrasi pilih pemimpin


Pelantikan Abu Bakar sebagai khalifah bukti suara majoriti tonggak pemerintahan negara

DEMOKRASI ialah sistem yang datang daripada keunggulan Islam. Namun, ada umat Islam keliru dan menolak sistem ini, malah menyatakan demokrasi daripada sistem kufur dan batil. Kegagalan memahami inti pati demokrasi menyebabkan salah faham besar dalam membawa sistem keadilan di pentas politik masa kini.

Demokrasi berasal daripada perkataan Yunani membawa maksud diperintah oleh rakyat iaitu rakyat memilih siapa pemimpin mereka untuk menerajui kerajaan. Sistem pemilihan itu dilakukan berdasarkan pungutan suara kebiasaannya melalui pengundian.

Demokrasi ialah proses pemilihan membabitkan ramai orang khususnya rakyat. Ia bertujuan memilih calon yang bakal memimpin dan mengurus mereka. Umumnya rakyat memilih calon yang mampu membawa perubahan serta mampu mengurus negara dengan mantap dan baik.

Sementara bagi calon yang tidak berdedikasi, pentingkan diri dan tidak pandai mengurus kepemimpinan ditolak rakyat. Inilah ciri demokrasi yang memberi pelbagai saluran seperti pemilihan umum, meminta pandangan rakyat, mengutamakan suara majoriti, mempelbagaikan parti politik supaya berlaku keseimbangan.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik pemimpin kalian ialah pemimpin yang disayangi dan didoakan oleh kalian dan pemimpin itu juga menyayangi dan mendoakan kalian. Sementara seburuk-buruk pemimpin ialah pemimpin yang kalian kutuk dan benci dan mereka pula mengutuk dan membenci kalian." (Hadis riwayat Muslim)

Meskipun pada zaman Nabi Muhammad SAW perkataan demokrasi belum wujud, Baginda sudah menunjukkan nilai demokrasi dalam diri lebih-lebih lagi apabila sesuatu perkara yang tidak mempunyai sandaran wahyu. Baginda bersikap demokrasi dengan mengambil pandangan sahabatnya dan membuat keputusan berdasarkan suara majoriti.

Perjanjian Aqobah pertama dan kedua juga menunjukkan kuasa rakyat menjadi tonggak dalam pemilihan pemerintah. Berdasarkan perjanjian itu, ulama sejak dulu menegaskan kekuasaan asalnya berada di tangan rakyat. Oleh itu, kekuasaan tidak boleh dipaksa kepada rakyat. Tanda rela dan setia rakyat terhadap kekuasaan atau pemerintah ialah dalam bentuk baiah atau taat setia.

Berdasarkan prinsip demokrasi, ajaran Islam menolak sekeras-kerasnya perebutan kuasa dengan paksaan terhadap rakyat kerana kekuasaan harus diperoleh melalui rakyat secara sukarela.

Nilai demokrasi yang ditunjukkan Rasulullah SAW diteruskan sahabat. Tanpa meninggalkan wasiat siapa pengganti, kewafatan Baginda memberi petunjuk sistem demokrasi harus dijalankan seperti ketika Baginda masih hidup.

Pada pemilihan di dewan bani Saadah, Madinah, Abu Bakar menjadi khalifah pertama umat Islam berdasarkan sokongan majoriti sahabat. Islam menjalankan sistem demokrasi dalam semua aspek sehingga sekecil-kecil perkara. Islam meraikan demokrasi dan mengambil berat mengenainya seperti pemilihan imam.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tiga golongan mendapat siraman kasturi pada hari kiamat; hamba yang memenuhi hak Allah dan hak tuannya, lelaki yang mengimamkan satu kaum dan kaum itu merelakannya dia menjadi imam dan lelaki yang mengajak solat lima waktu setiap hari." (Hadis riwayat Tirmidzi)


Jika dalam soal siapa imam juga dilaksanakan melalui pemilihan secara demokrasi, inikan pula dalam urusan politik yang bakal menentukan nasib rakyat dan negara.

Profesor Dr Yusuf al-Qardhawi menyatakan dalam kitabnya Feqh Daulah (Feqh Kenegaraan) menulis: "Sangat menghairankan ada sebahagian manusia yang menghukum demokrasi sebagai kufur yang jelas dan pasti. Padahal dia belum tahu secara tepat apa itu demokrasi, belum mendalami apa erti sebenar demokrasi dan isinya. Barang siapa yang menetapkan hukum sesuatu padahal dia tidak mengetahuinya secara pasti, maka pandangannya itu cacat dan batil walaupun secara kebetulan pandangan dia itu benar."
Beliau menambah: "Orang Muslim yang mengajak kepada sistem demokrasi dengan pertimbangan bahawa demokrasi itu adalah penetapan hukum yang menyatukan dengan prinsip politik Islam dalam memilih seorang pemimpin dan menetapkan syura, melaksanakan amar makruf nahi mungkar, melawan kezaliman, menolak kederhakaan terutama jika kederhakaan itu menjurus kepada kufur yang jelas berdasarkan bukti keterangan dari Allah".

Antara bukti yang mengukuhkan hal ini adalah teks undang-undang ada yang menyatakan: "Agama negara adalah Islam dan syariat Islam menjadi rujukan undang-undang."

Ini menguatkan bahawa kedaulatan Allah dalam menetapkan hukum dan kedaulatan syariat-Nya. Oleh itu, ajakan kepada sistem demokrasi tidak boleh dianggap sebagai kufur, kerana selagi tidak ada penentangan dengan syariat maka ia dibolehkan.

Islam menolak kepemimpinan autokratik dan zalim. Pemimpin tidak dapat menerima pandangan dan kritikan adalah pemimpin yang tidak layak diangkat sebagai calon pada pemilihan akan datang.

Berdasarkan hadis diriwayatkan Tabrani dan juga dalam Sahih al-Jamik as-Soghir, Nabi Muhammad SAW menggambarkan pemimpin yang tidak boleh dikritik dan ditegur seperti kera melompat.

Islam juga menolak dan menyanggah rakyat yang memilih dan mendukung pemimpin yang zalim dan dikenali dengan kejahatannya serta penentangannya terhadap Allah dan Rasul. Allah menceritakan bagaimana Dia menghancurkan kaum Ad yang menurut perintah penguasanya yang menentang Allah dan Rasul.

Firman Allah bermaksud: "Dan itulah (kisah) kaum Ad yang mengingkari tanda kekuasaan Tuhan mereka dan menderhakai rasul Allah dan mereka menuruti perintah semua penguasa yang sewenang-wenang lagi menentang (kebenaran)." (Surah Hud, ayat 59)

Bagi mengukuhkan amaran Allah itu, Nabi Muhammad memperincikan dalam hadis yang direkodkan Imam Ahmad bahawa Baginda tidak mengakui sebagai umatnya sesiapa yang mendukung dan membenarkan kezaliman dilakukan pemimpin. Amaran keras ini adalah perintah untuk umatnya supaya tidak tergelincir daripada mainan dan tipu daya pemimpin zalim.

Pemimpin harus bersedia menerima pandangan, adil, amanah dan sedia dikritik. Seorang pemimpin harus menjadi teladan kepada orang yang dipimpin. Kewibawaan Saidina Abu Bakar terserlah sejak hari pertama beliau dilantik menjadi Khalifah.

Abu Bakar berkata: "Wahai semua manusia, sesungguhnya aku sudah diangkat menjadi pemimpin kalian, tetapi aku bukan orang terbaik di kalangan kalian. Jika kalian melihat aku berada atas kebenaran, maka ikutlah aku. Jika kalian melihat aku berada dalam kebatilan, maka luruskanlah aku. Taat kepadaku selagi aku takut pada Allah di tengah kalian dan jika aku derhaka kepada Allah, maka tidak ada kewajiban bagi kalian untuk mentaatiku."

Bagi pemimpin yang bakal dipilih rakyat, renungi sabda Nabi Muhammad SAW bagi memberi rawatan kepada hati yang sudah mula bersenang-senang.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Dalam neraka jahanam ada sebuah lembah. Dalam lembah itu ada sumur yang dipanggil Habhab. Ada hak bagi Allah untuk menempatkan di dalamnya setiap pemimpin yang bersenang-senang lagi menentang kebenaran." (Hadis riwayat al-Hakim dan At-Tabrani)







sumber dipetik dari : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Agama/20090710235043/Article/index_html

Khamis, 1 April 2010

Dahi Cecah Ke Sejadah


Bersihkanlah dirimu sebelum kamu dimandikan
Berwudhu’lah kamu sebelum kamu diwudhu’kan
Dan solatlah kamu sebelum kamu disolatkan

Tutuplah ‘auratmu sebelum ‘auratmu ditutupkan
Dengan kain kafan yang serba putih
Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih
Walaupun orang yang hadir itu merintih

Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai
Lalu dilaksanakanlah solat Jenazah
Dengan empat kali takbir dan satu salam
Berserta Fatihah, Selawat dan doa
Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah
Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus
Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup?

Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud
Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah luput?
Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian
Justeru kumenyeru sekelian Muslimin dan Muslimat
Usunglah dirimu ke tikar solat
Sebelum kamu diusung ke liang lahad
Menjadi makanan cacing dan makanan ulat
Iringi dirimu ke masjid
Sebelum kamu diiringi ke Pusara

Tangisilah dosa-dosamu di dunia
Kerana tangisan tidak berguna di alam baqa’

Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan
Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan
Dengan panggilan ‘Izrail yang menakutkan

Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan
Kerana ianya berguna untuk yang tinggal
Bukan yang pergi

Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan
Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan
Ingatlah di mana saja kamu berada
Kamu tetap memijak bumi Tuhan
Dan dibumbungi dengan langit Tuhan
Serta menikmati rezeki Tuhan

Justeru bila Dia menyeru, sambutlah seruan-Nya
Sebelum Dia memanggilmu buat kali yang terakhirnya
Ingatlah kamu dahulu hanya setitis air yang tidak bererti
Lalu menjadi segumpal darah
Lalu menjadi seketul daging
Lalu daging itu membaluti tulang
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti
Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu
Yang kalau jatuh ke tanah
Ayam tak patok itik tak sudu
Tapi Allah mengangkatmu ke suatu mercu
Yang lebih agung dari malaikat
Lahirmu bukan untuk dunia
Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat

Sambutlah seruan ‘Hayya ‘alas Solaah’
Dengan penuh rela dan bersedia
Sambutlah seruan ‘Hayya ‘alal Falaah’
Jalan kemenangan akhirat dan dunia

Ingatlah yang kekal ialah amal
Menjadi bekal sepanjang jalan
Menjadi teman di perjalanan
Guna kembali ke pangkuan Tuhan
Pada hari itu tiada berguna harta, tahta dan putera
Isteri, kad kredit dan kereta
Kondominium, saham dan niaga
Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia.
Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 1991-2010 MyBlog. Powered by Mohd Rahimi Shamil MyBlog Diubahsuai oleh Shamil Group sdn bhd. Sponsor by deluxetemplates